'RM1.5 Bilion Dana Luar Bandar Diseleweng'

Kota Kinabalu - Dianggarkan RM1.5 bilion diseleweng daripada RM7.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah dari 2010 hingga 2016.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, berkata ia membabitkan projek berkaitan pembinaan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya luar bandar.

Beliau berkata, lebih 60 syarikat dikenal pasti terbabit melaksanakan projek berkenaan dan usaha mencari semua yang terbabit dalam syarikat berkenaan giat dilakukan.

"Projek dibuat ada yang tidak sempurna dan melihat wujud isu rasuah. Kita mengenal pasti lebih 60 syarikat terbabit dan sudah menyiasat beberapa syarikat, sebahagian lagi kita masih cari.

"Jumlah dana RM7.5 bilion dalam tempoh enam tahun (2010-2016). Kita akan lihat dan siasat, dan mana-mana saksi yang terbabit akan dipanggil.

"Saya tidak komen mana-mana personaliti, sesiapa yang boleh membantu siasatan kita akan panggil dan tangkap sesiapa saja yang dikenal pasti sebagai suspek," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang hadir bagi mendengar taklimat perkembangan siasatan terkini berhubung kes terbabit.

Azam berkata, dana berkenaan diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada Sabah untuk projek luar bandar tetapi kemungkinan diambil kesempatan oleh beberapa syarikat untuk merasuah pihak tertentu.

Bagi projek Kerajaan Pusat, katanya, pelantikan kontraktor lazimnya dilakukan sendiri.

"Bagi kes ini, kita menerima maklumat orang ramai selepas kes (penyelewengan) Jabatan Air Sabah tahun lalu.

"Kita ada pemberi maklumat. Dia datang ke SPRM dan memberitahu perkara tertentu yang tidak mematuhi peraturan bagi projek luar bandar," katanya.

Terdahulu, Dzulkifli menyifatkan proses siasatan berjalan lancar.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan