Nama Disalah Guna, PUNB Lapor Polis

Ayer Keroh - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sudah membuat tiga laporan polis berhubung penyalahgunaan nama, logo serta akronim agensi berkenaan, sejak dua bulan lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata laporan itu turut membabitkan beberapa individu yang menipu serta sengaja mengelirukan masyarakat, terutama golongan usahawan untuk meraih keuntungan segera dengan menyusahkan orang lain.

Beliau berkata, laporan pertama membabitkan satu akaun laman Facebook menggunakan nama Pinjaman PUNB, diikuti kewujudan koperasi dikenali KPUNB dengan kedua-duanya menawarkan pinjaman peribadi, perkahwinan dan pinjaman perniagaan.

"Kes terbaharu membabitkan sebuah syarikat bernama Kongsi Makan Berhad yang menjalankan skim pelaburan berkonsepkan francais serta memanipulasi nama PUNB dalam aktiviti syarikat mereka.

"Saya tegaskan bahawa PUNB tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan ketiga-tiga entiti terbabit dan kami tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil untuk menjadi perantara yang mengenakan bayaran tertentu kepada usahawan dan bakal usahawan bagi mendapatkan kelulusan segera pinjaman daripada PUNB," katanya selepas merasmikan pejabat baharu PUNB Cawangan Melaka di Taman MITC Prima, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhammad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad dan Pengurus PUNB Melaka, Hasfiyah Hasan.

Mohd Ali mengulas kes membabitkan kira-kira 80,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk beberapa pelakon popular yang berputih mata apabila skim pelaburan berkonsepkan francais yang menjanjikan keuntungan lumayan bertukar menjadi mimpi ngeri kepada mereka.

Keadaan itu menyebabkan golongan berkenaan menanggung kerugian keseluruhan mencecah RM1 bilion.

Mengulas lanjut, Mohd Ali turut meminta orang ramai supaya membuat laporan polis jika terdapat unsur penipuan dalam setiap urusan pinjaman kewangan.

Katanya, usahawan juga boleh berhubung terus dengan PUNB jika ada pihak sengaja menggunakan nama agensi berkenaan untuk tujuan menipu.

Sementara itu, beliau berkata pembukaan pejabat baharu PUNB Melaka akan memberi kemudahan kepada usahawan dan bakal usahawan Bumiputera untuk menjalankan urusan mengenai sebarang pinjaman dan pembiayaan perniagaan.

"Kini, semua pejabat cawangan di seluruh negara boleh memproses permohonan pembiayaan yang layak sehingga RM500,000 dan kemudiannya proses kelulusan akan dilakukan di ibu pejabat PUNB.

Ini akan mempermudahkan semua urusan yang membabitkan permohonan dan mempercepatkan urusan kelulusan pembiayaan kepada usahawan yang layak.

"Bukan itu saja, mulai hari ini juga semua pejabat cawangan PUNB akan menjalankan taklimat harian kepada usahawan dan bakal usahawan yang datang untuk mendapatkan penerangan mengenai skim yang ditawarkan," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan