SPRM Keluar 'Top 10' Kementerian Paling Banyak Aduan Rasuah

Putrajaya - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan senarai 10 kementerian paling banyak menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Selain itu, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pihaknya juga akan mengumumkan lima kementerian yang menunjukkan prestasi terbaik atau paling kurang isu berkaitan rasuah selain salah guna kuasa.

Beliau berkata senarai itu akan dikeluarkan setiap tahun dengan kedudukan kementerian terbabit berubah mengikut perkembangan semasa berdasarkan prestasi serta penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

"Senarai ini sudah siap, namun kita masih menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannya kepada umum. Ia bukan bertujuan untuk memburukkan kementerian tertentu, sebaliknya lebih kepada teguran supaya mereka membuat penambahbaikan.

"Bagi peringkat utama, kita akan kemukakan senarai kedudukan kementerian terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada senarai peringkat jabatan dan agensi di setiap negeri.

"Ini adalah satu mekanisma baharu dilaksanakan oleh SPRM, yang secara tidak langsung meletakkan tanggungjawab kepada pihak kementerian untuk memastikan mereka tidak berada dalam senarai terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) peringkat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), di sini hari ini.

Yang turut hadir dan mengetuai bacaan ikrar IBR peringkat MPIC ialah menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Dzulkifli menegaskan, setiap kementerian dinilai berasaskan kriteria tertentu yang sudah mendapat pengesahan daripada beberapa pakar dalam bidang berkenaan.

"Buat masa ini, kita tidak boleh dedahkan apa kriteria berkenaan, namun ia bukanlah dinilai secara semberono kerana kita sudah mendapatkan pengesahan dari pakar.

"Korea Selatan adalah antara negara yang menggunakan kaedah ini untuk memantau kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dalam tadbir urus kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkifli juga berkata MPIC adalah salah satu kementerian yang berada dalam kelas kurang berisiko, malah tidak banyak menerima aduan berkaitan isu rasuah atau salah guna kuasa.

Mengenai IBR, beliau berkata, setakat ini 620 kementerian, jabatan, badan berkanun, pihak universiti, badan bukan kerajaan (NGO), yayasan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah melaksanakan ikrar berkenaan sebagai komitmen kepada masyarakat bahawa agensi yang mereka naungi bersih dari gejala itu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan