Shafie Minta Penyokong Bertenang

Kota Kinabalu - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini, meminta penyokongnya bertenang dan menghormati proses siasatan serta undang-undang.

Permintaannya itu disampaikan beliau menerusi Timbalan Presiden Warisan, Darrel Leiking, ketika ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah di pejabat SPRM.

Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang kemudian menyampaikan permintaan Mohd Shafie itu di hadapan kira-kira 100 penyokong parti berkenaan di luar pejabat SPRM, sebentar tadi.

"Ini adalah permintaan Datuk Seri (Mohd Shafie) yang meminta kita semua agar tidak emosi, marah atau mempertikaikan keputusan (SPRM)... sebaliknya hormati undang-undang yang ada, demi perjuangan kepada rakyat dan negeri ini.

"Datuk Seri juga meminta semua berdoa untuk keselamatan masing-masing dan berharap semua penyokong balik dengan selamat.

"Kita akan berjumpa esok di mahkamah sempena sambutan ulang tahun ke-60 Datuk Seri esok," katanya.

Darrel juga meminta penyokong parti itu tidak susah hati kerana SPRM sudah memberi jaminan akan menghormati proses siasatan dan tidak akan melakukan sesuatu perkara tidak diingini.

"SPRM juga memberi jaminan akan memberi rehat kepada Datuk Seri sepanjang proses siasatan dibuat," katanya.

Sementara itu, isteri Mohd Shafie, Datin Seri Shuryani Shuaib kelihatan keluar dari pejabat SPRM pada jam 9.40 malam dengan disambut sorakan oleh penyokong Warisan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan