Nor Mohamed Mungkin Individu Utama Pecah Amanah Dana BNM

Kuala Lumpur - Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an mengesyorkan bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop disiasat mengikut Seksyen 406 atau 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah (CBT).

Laporan suruhanjaya yang dibentangkan di Parlimen hari ini mendedahkan urus niaga tukaran wang asing (forex) adalah di bawah arahan dan seliaan Nor Mohamed yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua.

Suruhanjaya itu tidak menolak kemungkinan Nor Mohamed adalah individu utama bertanggungjawab melakukan CBT terhadap dana BNM berdasarkan bukti yang diperoleh.

Menurut laporan itu, disebabkan pendekatan diambil Nor Mohamed, pelbagai rizab BNM terpaksa digunakan untuk menampung kerugian ditanggung akibat urusniaga forex.

"Terdapat bukti dari siasatan yang mungkin mensabitkan kesalahan IW17 (Saksi Inkuiri 17 - Nor Mohamed), sebagai CBT ke atas dana yang dimiliki BNM mengikut Seksyen 406/409 Kanun Keseksaan.

"Suruhanjaya merumuskan bahawa urus niaga forex pada 1992,1993 dan 1994 yang dijalankan di bawah pengawasan, arahan dan kawalan melanggar Seksyen 31(a) Ordinan Bank Pusat 1958 (CBO).

"Tindakan IW17 berkaitan urus niaga forex melanggar arahan undang-undang yang menetapkan cara rizab BNM perlu diuruskan. Oleh itu terdapat asas untuk menyatakan IW17 mungkin melakukan kesalahan di bawah CBT ke atas dana BNM," kata laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan Nor Mohamed melanggar peraturan dan undang-undang dalam urus niaga forex dengan membuat dagangan spekulatif yang berlebihan dan mendedahkan dana BNM kepada risiko tinggi.

"Malah semua penemuan lain dalam laporan audit adalah berkaitan pelbagai cara ketidakpatuhan IW17 ke atas penafian undang-undang berhubung tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya," katanya.

Bagaimanapun, suruhanjaya berpandangan tidak mungkin Nor Mohamed melakukan kesalahan CBT secara bersendirian.

"Walaupun dia mempunyai kuasa ke atas dana BNM dan mempunyai kebebasan dalam urus niaga forex, dia tidak boleh meneruskan urusan itu tanpa persetujuan daripada pihak atasannya atau/dan orang lain yang berkuasa.

"Liabiliti bersamanya boleh disabitkan dengan kesalahan sama ada mengikut Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan," kata laporan itu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan