DAP Mahu Tanding DUN Di Kelantan

 

Kota Bahru - DAP yang tidak pernah bertanding di Kelantan mahu berbuat demikian bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14).

Parti itu menyampaikan hasratnya kepada pakatan pembangkang negeri itu untuk berbuat demikian.

Timbalan pengerusi pakatan pembangkang di Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, berkata ada permintaan daripada parti berkenaan untuk merebut kerusi DUN di negeri ini.

Wan Abd Rahim berkata hasrat itu dinyatakan DAP tetapi perkara itu belum dimuktamadkan oleh gabungan parti pembangkang itu.

"Ya ada permintaan daripada DAP bagi kerusi DUN," katanya ringkas selepas majlis makan tengah hari bersama pengamal media di negeri ini, hari ini.

DAP ketika ini tidak ada sebarang kerusi di Kelantan.

"DAP hanya berhasrat untuk (bertanding) DUN, tidak untuk Parlimen," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan berkata pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini masih belum selesaikan.

"Terdapat empat kerusi Parlimen yang belum diselesaikan kerana bertindih dan setakat ini rundingan masih berjalan dengan parti lain.

"Ia membabitkan pertindihan antara PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta PKR, " katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan