Kerajaan DAP Pulau Pinang Cuba Kelirukan Rakyat

Georgetown - Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini, dibidas kerana didakwa cuba mengelirukan rakyat berhubung isu peruntukan projek tebatan banjir berjumlah RM2 billion yang disalurkan Kerajaan Pusat kepada negeri itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan EXCO Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow yang mempersoal kenyataannya berhubung isu terbabit disifatkan berniat jahat.

"Kenyataan saya mengenai peruntukan RM2 billion adalah benar, bukan fitnah atau palsu dan ia disahkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bahawa peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Pulau Pinang untuk projek tebatan banjir melebihi RM2 billion.

"Dakwaan Ketua Menteri kononnya peruntukan RM1.7 billion dan dakwaan EXCO negeri kononnya RM1.1 billion masih belum dijelaskan Kerajaan Persekutuan satu kenyataan yang mengarut dan tidak cerdik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-9, sejumlah 10 projek sudah siap dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1.48 bilion, merangkumi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bertam Kepala Batas, Bandar Pulau Pinang, Sungai Junjung dan Sungai Perai.

"Bagi RMK-10, sebanyak 11 projek telah dilaksanakan membabitkan peruntukan sebanyak RM404 juta dan ia termasuklah projek meneruskan Projek RTB Bertam Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Lembangan Sungai Kerian.

"Bagi Projek RTB Lembangan Sungai Kerian, kerja pembinaan masih dilaksanakan dan dijangka siap pada akhir tahun ini," katanya.

Zainal Abidin berkata, bagi RMK-11, Kerajaan Persekutuan meluluskan sejumlah RM150 juta bagi pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan