50 Ahli PAS DUN Tendong Sertai UMNO

Pasir Mas - Melihat perjuangan PAS yang sudah keluar dari landasan sebenar, seramai 50 ahli parti itu daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, di sini hari ini mengisytiharkan menyertai UMNO.

Mat Zahid Junoh, 55, yang mengetuai kumpulan itu, berkata dia yang menyertai UMNO atas kerelaan sendiri bersama dua anaknya kerana melihat ia lebih membela rakyat berbanding PAS.

Malah, beliau yang juga pesara tentera, berkata dia yang sudah menjadi ahli PAS selama 29 tahun sejak 1988, melihat keadaan PAS sudah semakin bercelaru terutama selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kepemimpinan dalam PAS dilihat sudah berbeza berbanding dahulu selain suka menyalahkan parti lain sedangkan kesalahan diri sendiri tidak nampak, menyebabkan hati saya bertambah kuat menyertai UMNO.

"Saya mempunyai hasrat untuk menyertai UMNO sejak 10 tahun lalu, namun tidak mempunyai masa sesuai selain masih berharap PAS akan mula berubah.

"Saya tertarik dengan ikatan silaturahim yang ditonjolkan di kalangan ahli UMNO, malah parti ini dilihat lebih kuat memperjuangkan agama Islam," katanya ketika ditemui selepas mengetuai 50 ahli PAS menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di sini, hari ini.

Seorang lagi bekas ahli PAS, Md Nawai Ibrahim, 57, berkata hasratnya untuk menyertai UMNO itu timbul kerana mahu melihat parti itu terus membela kebajikan rakyat terutama di negeri ini.

Katanya, kebersamaan dalam melakukan kebajikan yang dipamerkan oleh UMNO negeri ini dilihat lebih berkesan kerana banyak membantu rakyat terutama golongan miskin.

"Saya sudah berada dalam PAS hampir 30 tahun dan selama menjadi ahli, saya lihat tiada kesungguhan yang dilakukan parti itu dalam membantu rakyat terutama di Mukim Paloh, di sini kerana masih banyak kekurangan seperti jalan rosak dan rumah penduduk kampung yang daif," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai ahli PAS di negeri ini akan menyertai UMNO selepas mereka mula sedar kelebihan parti itu yang lebih tersusun.

"Angka 50 adalah besar dan kita jangkakan ada lagi sahabat dari Kuala Krai dan Pasir Puteh akan turut sama dalam perjuangan UMNO," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan