Dedahkan 165,000 Nama Dikatakan Pengundi Hantu

Ipoh - Barisan Nasional (BN) Perak mencabar pemimpin pembangkang untuk membuktikan setiap 165,000 nama yang dikaitkan sebagai pengundi hantu yang memihak kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Pengerusi, Datuk Saarani Mohamad, berkata pihaknya tidak gentar dengan kenyataan pemimpin pembangkang mahu membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Beliau mendakwa Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin serta Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming, sengaja menimbulkan bantahan berhubung senarai 165,000 nama didakwa ada kaitan dengan pengundi hantu.

Katanya, malah mereka meminta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutihkan senarai nama berkenaan dan sekiranya enggan berbuat demikian, pemimpin pembangkang mengugut mahu membuat laporan polis dan SPRM.

"Saya hendak sahut cabaran itu, silakan.

"Kor Ming dan (pemimpin) Pakatan Harapan silakan buat laporan polis dan SPRM kerana pada saya masa itu (tempoh bantahan) sudah tamat, dia sepatutnya membuat bantahan sebelum nama daftar pemilih sah diwartakan pada 30 Jun lalu.

"Dia (juga) kena buktikan setiap satu daripada 165,000 pengundi hantu yang didakwa, daripada nombor satu hingga ke-165,000, jangan main celup atau main semberono sahaja," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Sebuah portal berita kelmarin melaporkan Mohammad Nizar yang juga Pengarah Pilihan Raya pakatan pembangkang negeri pada sidang medianya yang turut dihadiri Kor Ming di Wisma DAP di sini, memberi tempoh 24 jam untuk BN mengemukakan maaf kepada pakatan itu berhubung isu pengundi hantu, selain menyatakan kesediaan untuk membawa semua bukti berhubung wujudnya komplot pengundi hantu membabitkan BN untuk siasatan polis.

Sebelum ini, laporan sama turut menyebut status akaun Twitter Kor Ming yang memuat naik satu gambar bersama pimpinan pakatan pembangkang di Pejabat SPR negeri dengan meletakkan tulisan 'Terbongkar, BN letak 56,323 'pengundi hantu di Perak'.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri berkata, pemimpin pembangkang berkenaan perlu meminta maaf sekiranya mereka gagal membuktikan setiap nama yang didakwa pengundi hantu itu kerana tindakan itu cuba memanipulasi angka.

"Tolong buktikan daripada nombor satu hingga 165,000 adalah pengundi hantu seperti dimaksudkan, kalau tidak dia (Kor Ming) kena sahut cabaran saya untuk meminta maaf kepada dunia kerana menipu," katanya.

Beliau berkata, perjalanan politik di negara ini perlu matang dan bukannya membuat tuduhan secara melulu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan