Kerajaan dipersalahkan, pembangkang cuba nak tunjuk hero

Tanjung Karang - Selain bermotifkan untuk menanam kebencian rakyat kepada pemimpin negara, Pakatan Harapan (PH) menjadikan perhimpunan haram sebagai medan mereka untuk muncul hero di mata rakyat.

Ini kerana menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, budaya berkumpul dan melakukan demonstrasi secara haram di kawasan terbuka itu sengaja dicetuskan pembangkang bagi tujuan provokasi kepada pihak berkuasa.

Katanya, perhimpunan PH yang bertemakan Selamat Malaysia Hapuskan Kleptokrasi yang bakal dianjurkan di Petaling Jaya, esok, adalah usaha pembangkang untuk memburukkan imej Malaysia kepada dunia kononnya tidak mengamalkan amalan demokrasi dan menyekat kebebasan hak rakyat bersuara.

“Inilah budaya pembangkang, suka melanggar peraturan negara. Esok kalau pihak polis menghalang perhimpunan haram itu, mereka akan bertindak melawan.

“Kalau berlaku huru-hara, kekecohan dan tangkapan, mereka kutuk kerajaan, tuduh ini kerja Barisan Nasional dan UMNO. Walhal mereka yang melanggar undang-undang dan arahan polis.

“Itulah yang mereka mahu, kononnya nak tunjuk kepada dunia keburukan kerajaan kita dan mereka pula kononnya jadi hero kepada rakyat,” selar Noh.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata kepada media ketika turun padang melawat Kampung Bukit Belimbing di kawsan parlimennya, pada Jumaat.

Noh juga mempersoalkan PH kerana tidak menganjurkan perhimpunan tersebut di kawasan tertutup seperti di Stadium Shah Alam yang lebih menjamin aspek keselamatan.

“Sekiranya mereka ini ikhlas, apa salahnya buat di tempat tertutup, ini tidak nak buat di kawasan terbuka yang mengganggu kehidupan masyarakat setempat.

“Mereka ada stadium yang besar, buatlah di situ. Tiada siapa nak larang mereka nak tertonggeng ke, terlentang, menari… nak tergolek ke tak ada siapa pun nak larang. Buatlah apa sahaja di situ.

“Inilah perangai pembangkang matlamat mereka tidak akan sampai jika buat dalam stadium. Mereka suka nak timbulkan kekecohan di tempat terbuka dan apabila polis larang, kekecohan terjadi dan itu yang pembangkang mahukan,” bidas Noh lagi.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyifatkan perhimpunan haram yang diketuai Mat Sabu itu adalah usaha PH mengalih tumpuan masalah dalaman mereka daripada menjadi tumpuan rakyat.

“Mereka tidak berjaya menyelesaikan masalah dalaman, dah tak boleh sorok, mereka guna taktik lain, anjurkan perhimpunan ini untuk menunjukkan pihak lain bermasalah.

“Saya harap rakyat sedar perangai pembangkang ini. Bukan nak menyelesaikan masalah, tapi menyalahkan orang lain dan mereka sahajalah yang nampak betul,” katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan