Kurangkan Risiko Cah Keting

Kuala Lumpur - Calon yang tewas pada pilihan raya kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) perlu mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon boleh menang, dalam usaha mengurangkan risiko sabotaj atau cah keting pada PRU-14.

Usaha membuka jalan kepada muka baharu yang lebih berwibawa untuk menjadi calon berupaya meningkatkan peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata tokoh yang gagal mendapat sokongan rakyat perlu bersedia melepaskan kerusi yang ditandingi sebelum ini dan memberi sokongan kepada calon baharu yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, ia antara langkah drastik yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak bagi mengekalkan tampuk pemerintahan kerajaan BN diterajui UMNO pada PRU akan datang.

Katanya, pendekatan kedua untuk mengurangkan risiko sabotaj ialah mengumumkan calon lebih awal bagi memberi peluang kepada pihak berkenaan turun padang berjumpa pengundi dan memperkenalkan diri.

Pucuk pimpinan, katanya, perlu belajar daripada kesilapan lalu apabila hanya mengumumkan calon di saat akhir sehingga pemimpin bahagian berebut hendak menjadi calon walaupun mengetahui mereka akan tewas.

"Tempoh yang panjang juga membolehkan tokoh yang marah dan merajuk kerana tidak terpilih dapat dipujuk. Sekiranya nama calon yang akan bertanding hanya diumumkan dua hari sebelum hari penamaan, risiko sabotaj atau cah keting oleh calon yang tidak terpilih tinggi.

"Masa terbuang dengan pujukan sebelum tokoh itu kembali menyokong calon yang terpilih. Sedangkan tempuh berkempen hanya 14 hari," katanya hari ini.

Mustapha berkata, kaedah ketiga ialah kepemimpinan parti juga perlu mengambil cakna terhadap calon yang tidak terpilih dengan memberikan mereka tugas dan tanggungjawab tanpa meminggir dan mengetepikan peranan golongan berkenaan.

Beliau berkata, semua pihak perlu berlapang dada dan bersikap terbuka dengan melantik mereka sebagai wakil calon atau pengurus kempen.

"Keempat, tokoh yang tidak terpilih juga hendaklah akur dengan keputusan pucuk pimpinan. Mereka hendaklah berlapang dada dan reda dengan qada' dan qadar Allah. Mereka mesti setia dengan parti dan mementingkan kemenangan parti," katanya.

Katanya, jika empat cara atau pendekatan itu gagal dipatuhi, peluang untuk UMNO dan BN menang PRU-14 akan menjadi lebih sukar.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan