PRU-14: Jentera Wanita UMNO Sedia Digerak

Jeli - Kira-kira 500,000 ahli Wanita UMNO dalam jentera Jalinan Rakyat (JR) pergerakan itu di seluruh negara, bersedia digerakkan membantu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata mereka dalam keadaan bersiap siaga dan akan bekerja sebaik mungkin bagi memperoleh kemenangan cemerlang pada PRU-14 nanti.

"Kekuatan jentera JR kita adalah perkara paling digeruni pembangkang kerana perkhidmatan politik yang diberikan kepada rakyat amat berkesan.

"JR mempunyai susun atur kerja yang tidak bermusim malah sentiasa mendampingi rakyat ketika senang mahupun susah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran jentera JR dan JR Plus peringkat Kelantan di Dewan Utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, di sini, hari ini.

Kira-kira 5,000 anggota JR dan JR Plus dari seluruh Kelantan hadir pada program itu yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Shahrizat berkata, gerak kerja jentera JR sudah bermula selepas PRU-13 lalu, bukannya menunggu tahun pilihan raya untuk memulakan kerja.

"Kita bukan membuat kerja pada saat akhir, tetapi sentiasa turun padang memberi perkhidmatan sepanjang masa. Menjelang PRU-14, usaha itu digandakan bagi memastikan kemenangan BN," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan