Selangor Bentang Bajet Gula-Gula PRU-14

Kuala Lumpur - Bajet Selangoor 2018, yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini, disifatkan hanya gula-gula politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, berkata tohmahan pembangkang kononnya Bajet 2018 oleh Kerajaan Persekutuan adalah bajet pilihan raya, kini jelas 'terpercik' kepada mereka sendiri.

Katanya, Bajet Selangor 2018 hanya sekadar mengulangi dasar sedia ada, selain turut membentangkan belanjawan defisit, sedangkan mereka sebelum ini mengkritik Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu.

"Peruntukan keseluruhan Bajet Selangor 2018 adalah berjumlah RM3.12 bilion dengan defisit berjumlah RM820 juta, 26 peratus daripada keseluruhan bajet negeri serta 38 peratus tambahan daripada jumlah anggaran hasil.

"Jumlah defisit Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan hanyalah pada kadar 14 peratus daripada keseluruhan peruntukan.

"Apa yang menghairankan, pada saat pemimpin pembangkang mengkritik pentadbiran Persekutuan kerana membentangkan bajet defisit, kerajaan Selangor juga membuat perkara sama, malah kadar peratusan jumlah defisit yang perlu ditanggung negeri jauh lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Selangor hari ini membentangkan belanjawannya untuk tahun depan dengan peruntukkan RM3.12 bilion, iaitu kira-kira 10 peratus lebih rendah berbanding Bajet 2017 negeri itu sebanyak RM3.45 bilion.

Budiman, yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, turut mengkritik Kerajaan Selangor yang gagal melaksanakan pendidikan percuma menerusi bajet negeri itu, walaupun sebelum ini menjanjikan pelaksanaan pendidikan percuma dalam bajet alternatif pembangkang.

"Kerajaan negeri juga berjanji untuk membina 136 unit rumah berkembar setingkat berhampiran FELDA Sungai Tengi Selatan, namun ia hanya ulangan janji yang dibuat Menteri Besar pada Januari 2016 ketika lawatan beliau ke FELDA itu.

"Hanya selepas hampir dua tahun dan semakin hampir kepada PRU-14, barulah kerajaan negeri cuba memberi komitmen.

"Kerajaan Persekutuan menerusi FELDA memang giat membina rumah generasi kedua FELDA di seluruh negara, tetapi yang mengecewakan Kerajaan Selangor sekian lama menafikan permohonan daripada FELDA," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan