UMNO Parti Terangkum

Kuala Lumpur - UMNO ialah parti inklusif yang sentiasa mendengar dan mencari sentuhan baru dalam mengemudi kepentingan orang Melayu serta negara.

Pada masa sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata UMNO parti yang relevan dan berada di landasan betul dalam landskap politik tanah air yang semakin kompleks.

"UMNO bukan hanya mendengar suara ahli dan kepemimpinan parti saja tetapi mendapatkan pandangan tokoh ekonomi, agama, pendidikan dan cendekiawan serta pemimpin masyarakat, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan kelangsungannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin.

Konvensyen itu dianjurkan Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, UMNO tidak perlu bersifat pemaaf kerana masa depan rakyat dan negara ini memang ditentukan oleh UMNO.

Katanya, UMNO mengambil peduli masalah rakyat dan pengundi bukannya melaksanakan kerja untuk kepentingan diri sendiri saja.

"Kita boleh menterjemahkan apa yang diinginkan orang Melayu dan bukan Melayu juga. Ini sudah diterima dan terus relevan.

"Dalam masa yang sama, UMNO juga perlukan sokongan parti komponen untuk terus menerajui kepimpinan negara," katanya.

Sementara itu, mengulas Perhimpunan Agung UMNO, beliau yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO berkata, mentaliti boleh menang adalah semangat yang akan digerakkan dalam perhimpunan kali ini.

Katanya ahli mesti yakin dan berpendirian serta tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang.

"Inilah masa yang sesuai untuk merapatkan barisan dan tidak terbelenggu dengan pemikiran lama untuk kepentingan diri saja.

"Apa guna kita berebut jawatan dalam parti hingga kita lupa kedudukan parti kita sendiri dan parti tidak lagi dihormati dan diperlekehkan oleh lawan.

"Kemenangan pada pilihan raya umum kali ini penting untuk menentukan kelangsungan parti dan negara kita, "katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan