Kit Siang Jangan Buat Pusingan U

Kuala Lumpur - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang diingatkan untuk tidak membuat pusingan U atas kepentingan politik berhubung individu dikaitkan dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing (RCI) Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kit Siang perlu menyokong tindakan RCI ketika ini dan membuat laporan polis terhadap individu terbabit termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, katanya, kredibiliti anggota Kabinet pada 1990-an tidak sepatutnya dipersoalkan, sebaliknya perlu difokuskan kepada siasatan membabitkan Dr Mahathir dan Anwar.

"Amat jelas bahawa kerugian urus niaga mata wang asing (forex) berlaku kerana wujudnya konspirasi untuk menutupnya selain tidak melaporkan kes berkenaan secara telus kepada Kabinet.

"Berikutan itu, RCI diwujudkan setelah terdapat bukti bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menyembunyikan kerugian forex.

"Kit Siang juga jangan cuba tutup sebelah mata dan mengalih isu berbangkit untuk menyelamatkan rakan politiknya (Dr Mahathir dan Anwar)," katanya pada BH, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kit Siang yang mempersoalkan tanggungjawab Menteri Kabinet yang kononnya membiarkan kerugian urus niaga forex itu berlaku.

Ia susulan laporan RCI yang dibentangkan di Parlimen kelmarin, menyifatkan wujud asas untuk mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan oleh Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika urus niaga forex pada 1990-an.

RCI itu juga turut berpendapat wujud asas untuk mengesyorkan menyiasat kesalahan sama terhadap Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1991 hingga 2 September 1998) serta Tun Daim Zainuddin (14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991), selain pegawai BNM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan