Kit Siang Jadi PM Bawa Kehancuran

Kluang - Hasrat Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bakal membawa kehancuran kepada negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pemimpin DAP itu bukan saja tidak boleh dipercayai, malah tiada prinsip kerana lebih mengutamakan agenda peribadi dan mengejar kuasa.

Katanya, memang angan-angan Kit Siang sejak dulu untuk menggulingkan kerajaan demi mendapatkan kuasa.

"Hanya Kit Siang yang tahu sama ada mahu menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, namun kita tahu beliau bukanlah seorang pemimpin yang boleh dipercayai.

"Kit Siang pemimpin yang tidak ada nilai serta tidak ada prinsip perjuangan. Dulu sanggup menyuruh masyarakat menyokong PAS, namun apabila parti itu tidak mengikut telunjuknya, beliau kini beralih dengan menggunakan Tun Dr Mahathir Mohamad pula.

"Ini semua demi kepentingan peribadinya sahaja sehingga sanggup menggadai prinsip dan visi partinya yang sering berubah-ubah. Beliau juga cukup pandai memanipulasi keadaan dan membuat pusingan-U mengikut kepentingannya saja.

"Saya yakin hasrat Kit Siang menjadi pemimpin utama negara sekiranya pembangkang memenangi PRU14 hanya akan membawa perpecahan dan kemusnahan kepada masyarakat dan negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian selepas menghadiri Program Presiden MCA dengan masyarakat Paloh, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, dilaporkan berkata, rakyat perlu menolak pemimpin DAP yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga hakikat kegagalan parti itu menjadi kerajaan bersih.

Minggu lalu, Bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat, mendakwa terdapat 'cakap-cakap' di dalam DAP mengatakan Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri, walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan berniat demikian.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan