DUN Paloh: Yap Kun Kekal Calon BN

Kluang - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Teoh Yap Kun, kekal sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Hal itu diumumkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Majlis Bersama-sama Masyarakat Paloh, dekat sini, hari ini yang kemudian disambut dengan tepukan kira-kira 1,000 penduduk.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan, berkata langkah mengekalkan Yap Kun dibuat berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan bekas guru berkenaan yang sentiasa turun padang mendekati pengundi di Paloh.

"MCA sudah hantar senarai nama calon yang bakal bertanding kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kita tunggu keputusan dimuktamadkan dan diumumkan beliau.

"Bagaimanapun, MCA yakin Yap Kun calon terbaik dan mampu mengekalkan sokongan pengundi terhadap BN berdasarkan kecemerlangan perkhidmatan dan dirinya yang disukai masyarakat setempat.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas yang bukan sahaja amat cemerlang dalam perkhidmatan kepada masyarakat di sini, malah cukup menekankan keharmonian kaum sehingga amat disayangi masyarakat Sembrong," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada PRU-13, Yap Kun menewaskan calon DAP, R Shanker dengan majoriti 103 dengan meraih 7,531 undi berbanding lawannya 7,428 undi.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan