'Berdamai Bukan Atas Arahan'

Kuala Lumpur - 'Perdamaian' antara MCA dan GERAKAN berlaku atas inisiatif kedua-dua parti dan bukan arahan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah mengetepikan ideologi kedua-dua parti itu diambil selepas masing-masing menimba pengajaran daripada dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, ia selaras nilai teras perjuangan BN yang memupuk kerjasama antara parti komponen, sekali gus meletakkan masa depan rakyat melangkaui kepentingan peribadi.

"Nilai ini perlu sentiasa disemat dalam hati kita, justeru MCA dan GERAKAN tampil merangka formula baharu dalam memastikan kemenangan milik BN pada PRU-14.

"Kerjasama ini adalah inisiatif kami selepas siri perbincangan sejak dua bulan lalu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bersama MCA dan GERAKAN, di Wisma MCA, di sini hari ini.

Mengulas 'perbalahan' antara MyPPP dan MIC, Tiong Lai berkata, parti komponen wajar menjadikan inisiatif antara MCA serta GERAKAN sebagai ikutan.

Langkah itu, katanya, berupaya memacu keutuhan jentera BN bagi menempuh PRU-14, selain mencerminkan komitmen parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Ini jalan terbaik supaya rakyat dapat membezakan BN dengan pembangkang yang sampai hari ini masih berbalah dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, dengan penuh keterbukaan mengakui parti berkenaan dan MCA pernah bercakaran angkara isu tertentu.

Bagaimanapun, katanya, episod yang disifatkan seperti 'resam berumah tangga' itu kini sudah berakhir apabila kedua-dua parti bersetuju mengutamakan kepentingan meraih kemenangan bersama pada PRU-14.

"Apa yang berlaku antara kami (MCA dan GERAKAN) sudah menjadi sejarah, sekarang kita tampil dengan nafas serta pertalian baharu," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan